Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengarahkan siasatan dilakukan berhubung dakwaan bahawa polis terutama di peringkat daerah terpaksa mencari 'pendapatan sampingan' bagi meraikan pihak atasan.
Ahmad Zahid, yang juga Menteri Dalam Negeri, berkata beliau telah mengarahkan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Polis Diraja Malaysia dan Cawangan Khas untuk mendapatkan maklumat berhubung perkara tersebut.
Beliau berkata jika perkara seumpama itu benar-benar berlaku, maka ia satu perbuatan kurang cerdik."Jika mereka tidak mempunyai sumber kewangan, mereka boleh beritahu keadaan sebenar, jangan gunakan alasan tidak cerdik untuk pertahankan diri," katanya ketika berucap pada majlis penutup Kembara Media Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini, pada Ahad.
Turut hadir Pengurus Besar Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Zulkefli Salleh dan Ketua Pengarang Bernama Datuk Zakaria Abd Wahab.Sebuah akhbar berbahasa Inggeris hari ini melaporkan amalan mencari ''pendapatan sampingan'' itu dilakukan kerana pegawai atasan meminta ''tajaan'' daripada mereka.
Pada sidang media kemudian, Ahmad Zahid berkata dakwaan amalan rasuah dalam kalangan segelintir anggota polis perlu dibanteras bagi memperbetulkan persepsi negatif masyarakat terhadap PDRM.
Timbalan perdana menteri berkata beliau juga akan berbincang dengan kementerian lain bagi membersihkan agensi penguatkuasaan daripada amalan rasuah."Kepercayaan rakyat harus dikembalikan terhadap agensi-agensi penguatkuasaan...nila-nila setitik dua yang merosakkan susu sebelanga ini perlu dihapuskan," tegasnya.
Menggunakan anologi penyakit diabetes, Ahmad Zahid berkata lazimnya anggota badan yang terjejas dengan penyakit itu akan dipotong bagi mengelak ia merebak ke anggota badan lain."Mungkin itulah kaedah terbaik yang boleh dilakukan oleh KDN dan lain-lain kementerian serta jabatan yang mempunyai agensi penguatkuasaan," katanya.